HATI YANG SEJAHTERA DI MAHSYAR

Salam ukhuwwah, alhamdulillah diizinkan Allah swt saat ini untuk saya berkongsi ilmu dan saling ingat mengingatkan sesama kita. Kepada semua sahabat nisa' saya ucapkan Assalamu'laikum wbrth. Terima kasih kepada sahabat nisa' yang sudi membaca post ini, mudah-mudahan kita sama-sama dapat reset semula minda dan ruhani kita agar sentiasa berada di landasan yang betul, Insya'Allah. Marilah kita sama-sama renunginya...
Nabi SAW membaca firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 8-9 yang bermaksud;...Maka barangsiapa yang berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya (beruntung). Dan barangsiapa yang ringan timbangan kebaikannya maka mereka itulah orang yang merugikan dirinya sendiri... Insan yang berjaya di sisi Allah SWT ialah yang dapat memberi tumpuan ke arah memperbaiki amalan sehingga kebaikan diri mengatasi kejahatannya. Manusia boleh mencapai kejayaan dalam bidang yang diingini namun kesemuanya itu belum boleh dianggap berjaya. Selain bekalan material manusia mesti mempunyai bekalan modal untuk menemui Tuhan, umpama orang yang ingin menjadi usahawan berjaya, antaranya mesti ada modal pengetahuan dan pengalaman atau modal wang ringgit. Apatah lagi untuk mencapai keuntungan di akhirat, semestinya memerlukan modal yang besar. Modal yang utama antara manusia dengan Tuhan ialah diri mereka iaitu "hati". Hati menggerakkan segala tindakan. Hati yang sejahtera (baik) sentiasa mendorong seluruh anggota melakukan kebaikan, umpamanya melakukan ibadah wajib atau sunat. Hati yang sejahtera akan mendorong seseorang melakukan perintah Allah SWT seperti menutup aurat dengan sempurna, pemurah, dermawan, bertimbang rasa dan sebagainya. Manakala hati yang rosak akan mendorong seseorang melakukan larangan Allah SWT seperti mendedahkan aurat, melakukan maksiat dan kejahatan. Sesungguhnya segala perlakuan jahat dan mungkar itu pada hakikatnya adalah jelmaan dari hati yang fasad(rosak). Jesteru itu, hubungan mukmin dengan Allah SWT mestilah bermodalkan hati yang murni supaya mereka sentiasa melakukan kebaikan yang akan memberatkan timbangan di Akhirat. Sampai di sini sembang-sembang tambah iman kita...semoga Allah panjangkan umur ketemukan kita lagi di lain masa, Insya'Allah.